pIcIsAn

My photo
I write a lot. Every seconds, every hours, every day, every month. But I realize you won't come back.

2012-10-29

Gergasi



         Hari ini memang letih benar. Tulang empat keratnya minta berehat. Hari ini hari terakhir. Hari di mana dia akan bebas dan pulang mengusap cinta bersama Marissa. Tangga dinaikinya perlahan. Udara pagi menghembus telinganya dengan nyaman. Rakannya yang lain sudah tiba. Tugas hari ini menuntut mereka menaiki perancah tinggi. Walaupun gayat, demi duit dan Marissa dia sanggup. Tenang dia dan rakan-rakan menyiapkan alatan. Tali, sarung tangan, gam khas, poster dan segala macam disusun dengan cermat.
         Dia meniti perancah penuh berhati-hati. ‘roller’ dipegang. Poster berwajahkan artis terkenal mempromosi minuman herba tadi ditampal di atas papan tanda. Bunyi kenderaan mula kedengaran bingit. Semua pemandu menancapkan mata ke poster yang baru ditampal. Dia lega. Tugasnya sudah selesai. Kini, hanya perlu turun dan mengambil bayaran kemudian bertemu Marissa.
         Tersenyum dia berjalan di bawah poster yang baru ditampalnya tadi. Ditatap sebentar hasil kerjanya. Kemas. Dari atas perancah yang lain, kelihatan Halim melambai-lambai. Dia membalas dengan girang. Halim lambai lagi sambil menjerit. Dia tidak jelas akan butir yang disebut Halim. Rahman juga turut melambai. Aneh rasanya. Dia dan Rahman tidak pernah bertegur sapa. Mungkin kerana hari ini hari terakhir, Rahman ingin berbaik-baik dengannya. Rahman juga menjerit seperti Halim. Gembira sungguh mereka berdua. Tiba-tiba,kepalanya terasa dipukul. Badannya sudah meniarap. Dia kaku. Lambaian Halim dan Rahman hilang dalam gelap. Dia tidak mampu bergerak. Dalam keadaan itu, senyuman Marissa tiba dan membawanya terbang.
         Duit di atas meja tidak disentuh. Sebaliknya surat khabar hari ini yang ditatap dan dibaca Marissa penuh perhatian. Rahman dan Halim membisu. Marissa bangkit dan meletakkan surat khabar itu kembali ke atas meja. Rahman dan Halim membontoti Marissa meninggalkan surat khabar yang berita utamanya tertera ‘BURUH MUDA MATI DIHEMPAP PAPAN TANDA GERGASI DI LEBUHRAYA SUBANG JAYA’.

Pesanan Senyum: Cerpen ini adalah salah satu cerpen yang terpilih untuk menang Contest Buku Fixi Gergasi. sebenarnya penulis kesempitan wang dan cuba nasib untuk mendapat buku percuma dengan memasuki pertandingan ini.


untuk memenangi buku ini katanya. maklumat lanjut di fixi.com.my

2012-10-24

Monolog Langit

aku menatap pada langit yang berwarna
sengaja aku bisik padanya
"kau mahu langit warna apa?"
dia tersenyum dan matanya hilang di balik pipi

"aku mahu warna engkau,
agar aku bisa merasakan,
engkau sentiasa mengekoriku,
senang untuk aku hadap,
tatap,
mahupun sentap".

aku larut dalam monolognya
kelu otak
beku hati
kerana keliru jiwa
tidak tahu warna diriku yang mana
perlu aku hulur pada sang langit arjuna.

-Inspirasi Langit Vanilla oleh Wani Ardy-


Wani Ardy


2012-10-09

Mendung Yang Terlanjur

Dia baru keluar dari negara Melayu diperintah Bangladesh. berhati-hati dia meniti langkah menuruni tangga. hujan memang turun dengan garangnya. sudahlah dia dan payung bergaduh tempoh hari. dia bilang payung sudah tidak cintakan dia. sedangkan payung sedaya-upaya melindungi wajah bertempek bedaknya dari segala anasir. natijahnya, kini dia berdiri berfikir bagaimana caranya mahu meredah titisan tangisan langit dengan bergaya.

terlihat dia akan salah satu rakyat negara Melayu diperintah Bangladesh bersama payung kelabu tahi kucing. senyum dilirik dan dia menggoda si payung. payung kelabu tahi kucing setuju, dengan syarat pulang nanti harus berbaik bersama payung sendiri. dia mengangguk. kini, dia menunggu hadirnya Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya di stesen khas. Si Badan Besar ini bisa jadi wangi dan cantik namun mereka biasanya garang, kasar dan memaksa dia berdiri sehingga tiba di stesen terakhir. hari ini, bapa Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya yang datang menjemput. dia redha. asalkan dapat pulang memujuk payung dan perut yang pagi tadi merajuk.

kan benar. dia dipaksa berdiri dalam kalangan rakyat negara Melayu diperintah British, China diperintah Filipina dan tidak kurang Iran diperintah India. namun, hatinya biasa sahaja. Asalkan dapat tiba di stesen terakhir itu sudah mencukupi. namun, bapa Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya ini mengajak dia berjalan. mengelilingi Bukit Cinta, meredah usangnya stesen-stesen lain, dalam keadaan dia yang kuyup dan lebat hujan di luar sana. romantis dan melankolik rasanya.

disebabkan dia berseorangan, maka dipendam kata-kata kelaparan dalam trachea dan tonsil. akhirnya, tiba juga dia di stesen terakhir. berjalan dia bersama seluar lusuh menyapu debu-debu tar dan tanah lombong menyusuri hutan konkrit yang berlif. hajat si perut ingin memerintah nasi lemak koperasi. tidak kesampaian. melangkah dia menuju ke pusat berkumpulnya perut pelbagai bentuk. ketemu dia bersama Mimot dan Paz. Mimot senyum sahaja, tapi mulutnya malah rancak bercerita bersama Paz tidak mengendahkan dia yang tertinjau-tinjau mencari sumber untuk diperintah si perut. tidak mengapalah, sudah biasa begini. sendiri.

dipesannya tepung dalamnya telur, dan tepung biasa yang keduanya diuli dan dicanai. sambil itu, dia meneguk secawan Nescafe Cincau dibikin rakyat Indonesia diperintah Cina. dia menunggu tidak lama. usai segala, pulangah dia ke kamar kecil menjengah si payung, si cadar bercorak love dan teman berkerakyatan Kelantan diperintah Jawa. dan kini dia masih belum bermanja bersama air setelah merajuk ditimpa tangisan langit.


berdasarkan kisah benar.






2012-10-06

Perihal Tergugat yang Bukan-Bukan

Dia punya tabiat rasa hati yang buruk
di mana semua gadis cantik seperti ancaman
yang mencarik ruang kelemahan
di sebalik senyuman dan hijabnya

asal bertemu gadis panas
dia mula dirundung sepi
mula mencari di mana harga diri
mula mengira pelaburan yang harus dilakukan
hanya untuk memastikan
kau tiada berpaling

kisah sebenarnya
dia tahu kau mahu dia 
menjadi orang yang kau terpikat dahulu
yang bahagia tanpa gusar
yang mampu berdiri tanpa perlu menggigil 
menanti semua kata penilaian

kau punya kawan cantik
bekas teman wanita comel
rakan sekerja yang anggun
dia harap
kau mampu setia
pada redup mata dan mungil bibirnya
yang mengisytiharkan cinta

semoga rasa tergugat itu tidak melunturkan rasa yang sedia ada cukup rasa.






dia mahu jadi yakin seperti gadis ini.