2013-02-13

Rangkulan Bulu Putih


Diundang tanpa tangisan
Dijadikan harapan sang mama dan papa
Aku tidak pasti
Inikah jalan yang sehala atau bisa u-turn
Telah aku katakan pada engkau
Hembusan angin karbon monoksida itu kejam
Melumpuhkan seluruh paru-paru sedia bengkak

Terbaring dan telanjang
Anak patung beruang putih yang matanya tertutup bulu sendiri
Terlantar kaku bisu
Dipeluk aku hingga lemas
Meronta-ronta dia ingin terlepas
Aku menangis di bahunya
Aku muntahkan hati bertakung air mata
Dia bingung
“kali ini air mata kau penuh rasa duri dan berbau pedih”
Ujarnya pilu

Dia himpunkan bala tentera
Memanggil guru – guru alam
Si pengamal hidrosfera
Si penyelidik biosfera
Juga si pengkaji lithosfera
Dibentangkan segala khazanah
Digali segala harta
namun aku masih memeluk peha
merangkul tubuh bulu si patung beruang putih yang matanya tertutup bulu sendiri

2013-02-05

Pesta Untuk Dijual

Ada lekuk lembut pada kaki dililit tali
sambil dihembus puisi janggal
terkesot - kesot
menuju pesta separa sedar
ada sejambak bunga fuschia ditatang mantap
katanya hidangan afdhal
buat jejaka cantik
buat gadis tampan

dendangan lagu picisan mesra di telinga
bibir terukir tawa sinis
pesta riang gila sudah menerjah
ditaburi percikan api dalam igauan pra - matang
mengundang bauan hangit menyengat

bergelimpangan denyutan nadi
dirabak haruman fuschia yang tersebar
bergabung dan meletup
bersama titisan peluh serakah dan busuk
menanti untuk didagang
di balik pelabuhan ghaib
demi santapan bangsawan putih mulus.






2013-01-12

Kembang Bunga Rapuh

aku tidak layu
hati aku tidak kuyu
rawan yang menjengah bukan kepalang
bagai dikompang - kompang
menurut semua kata serpihan
meniti hujung pencungkil gigi
menjadikan sisa makanan terlurut kasar bersama alunan baju material chiffon

untuk jarak
untuk rindu
untuk kesetiaan
aku hulurkan wain merah hangat 
diulit bersama cerut penuh asyik
merangkul tubuh mini replika Barbie
di sudut jahanam dan jalang
bergomol tanpa halangan
sambil menjamah macaroon warna - warni

cara kau mencacah corak tribal
pada sekujur tubuh kaku
yang menginginkan simfoni apresiasi seni
alam sekitar penuh lumpur dan najis
mengandungi sensual tersendiri
dipenuhi kilauan sequin penuh silau

aku hembuskan sihir - sihir pelangi
kau tertawa penuh girang
seolah tahu ini akan terjadi
seolah pasti ini yang kau inginkan
setelah terhantuk di hujung katil
dan terlupa ayat-ayat hafazan
yang telah kau terap sejak akil baligh

jujurnya
kalau hidupnya engkau hanya bayangan dan igauan
datang pabila aku telah bersedia
merasa pedihnya kaki yang melecet demi kasut kesayangan
mencari jasad engkau yang bertempiaran
bersama lajunya tendangan bola
dan menimpa jiwa luluh yang sunyi

P/S = aku tidak tahu ekspresi apa untuk ini.



sumber : ini



sumber : ini

2012-12-12

Urusan Seri Paduka Baginda Si Angin


Dear Angin,

Maaf aku membuat kau kaget. memang aku tidak pernah mengutus warkah buatmu. aku cuma dapat merasa hadirnya engkau di hari-hariku yang indah. kau yang selalu mengutus khabar baik dan buruk,oh tidak lupa khabar angin. usah risau, aku masih sayang dan masih memerlukan kau. aku punya tugasan berat untukmu. mohon jangan tarik diri atau menghilang selepas tahu apa tugasanmu ini.


aku pinta kau titipkan angin angau pada dia. ya,dia si mata sepet.sisipkan nama aku dalam setiap helaian rambutnya, setiap batang giginya, di celahan jari-jari gebunya tak lupa dalam degupan jantungnya. agar di mana-mana hanya aku yang dia lihat. kau faham ini?. Bagus.


kemudian, kau pulang ke mari. duduk di sisi aku. jika dia muncul dalam masa 30 minit, kau berjaya. jika tidak, akan aku hembus engkau ke lembah angin gelap. selama-lamanya!. 


maka, persiapkanlah segala bala tenteramu. panggillah tornado, taufan dan ribut untuk turut serta membantu. buatlah dia menjunjung nama aku seorang. aku tiupkan doa dari jauh. pastikan kau berjaya!



                                   Hug and Kiss,
Gadis Pencinta Kekar

[sumber gambar]

2012-11-29

Manis Si Gula, Ringan Si Belon

saat kita bercumbu
putaran minda memainkan bait-bait lagu berbunyi

"Hari ini kau datang riang
tersenyum buat ku senang"

datangnya engkau bersama langit yang tenang
deruan angin yang menyapa lembut
bauan harum si bunga matahari
juga bunyi-bunyian harmoni si burung pipit

telah aku simpankan tempat
di sisi
agar kau tidak perlu berpeluh mencari dan menjengah
agar kau sentiasa memeluk aku
dan menjadi segala-galanya

gelisah jiwa mendambakan wajah kau
bergulir resah menanti hari seterusnya
supaya hati bercinta
mampu benar-benar gembira dan tenang
ditatapi pandangan suci sang kekasih

"waktu aku paling merindu, waktu yang harus kau tunggu
mana tahu, aku bakal muncul di depan pintu" - Zafirah Bahram

si mata sepet menjengah

2012-10-29

Gergasi



         Hari ini memang letih benar. Tulang empat keratnya minta berehat. Hari ini hari terakhir. Hari di mana dia akan bebas dan pulang mengusap cinta bersama Marissa. Tangga dinaikinya perlahan. Udara pagi menghembus telinganya dengan nyaman. Rakannya yang lain sudah tiba. Tugas hari ini menuntut mereka menaiki perancah tinggi. Walaupun gayat, demi duit dan Marissa dia sanggup. Tenang dia dan rakan-rakan menyiapkan alatan. Tali, sarung tangan, gam khas, poster dan segala macam disusun dengan cermat.
         Dia meniti perancah penuh berhati-hati. ‘roller’ dipegang. Poster berwajahkan artis terkenal mempromosi minuman herba tadi ditampal di atas papan tanda. Bunyi kenderaan mula kedengaran bingit. Semua pemandu menancapkan mata ke poster yang baru ditampal. Dia lega. Tugasnya sudah selesai. Kini, hanya perlu turun dan mengambil bayaran kemudian bertemu Marissa.
         Tersenyum dia berjalan di bawah poster yang baru ditampalnya tadi. Ditatap sebentar hasil kerjanya. Kemas. Dari atas perancah yang lain, kelihatan Halim melambai-lambai. Dia membalas dengan girang. Halim lambai lagi sambil menjerit. Dia tidak jelas akan butir yang disebut Halim. Rahman juga turut melambai. Aneh rasanya. Dia dan Rahman tidak pernah bertegur sapa. Mungkin kerana hari ini hari terakhir, Rahman ingin berbaik-baik dengannya. Rahman juga menjerit seperti Halim. Gembira sungguh mereka berdua. Tiba-tiba,kepalanya terasa dipukul. Badannya sudah meniarap. Dia kaku. Lambaian Halim dan Rahman hilang dalam gelap. Dia tidak mampu bergerak. Dalam keadaan itu, senyuman Marissa tiba dan membawanya terbang.
         Duit di atas meja tidak disentuh. Sebaliknya surat khabar hari ini yang ditatap dan dibaca Marissa penuh perhatian. Rahman dan Halim membisu. Marissa bangkit dan meletakkan surat khabar itu kembali ke atas meja. Rahman dan Halim membontoti Marissa meninggalkan surat khabar yang berita utamanya tertera ‘BURUH MUDA MATI DIHEMPAP PAPAN TANDA GERGASI DI LEBUHRAYA SUBANG JAYA’.

Pesanan Senyum: Cerpen ini adalah salah satu cerpen yang terpilih untuk menang Contest Buku Fixi Gergasi. sebenarnya penulis kesempitan wang dan cuba nasib untuk mendapat buku percuma dengan memasuki pertandingan ini.


untuk memenangi buku ini katanya. maklumat lanjut di fixi.com.my

2012-10-24

Monolog Langit

aku menatap pada langit yang berwarna
sengaja aku bisik padanya
"kau mahu langit warna apa?"
dia tersenyum dan matanya hilang di balik pipi

"aku mahu warna engkau,
agar aku bisa merasakan,
engkau sentiasa mengekoriku,
senang untuk aku hadap,
tatap,
mahupun sentap".

aku larut dalam monolognya
kelu otak
beku hati
kerana keliru jiwa
tidak tahu warna diriku yang mana
perlu aku hulur pada sang langit arjuna.

-Inspirasi Langit Vanilla oleh Wani Ardy-


Wani Ardy


2012-10-09

Mendung Yang Terlanjur

Dia baru keluar dari negara Melayu diperintah Bangladesh. berhati-hati dia meniti langkah menuruni tangga. hujan memang turun dengan garangnya. sudahlah dia dan payung bergaduh tempoh hari. dia bilang payung sudah tidak cintakan dia. sedangkan payung sedaya-upaya melindungi wajah bertempek bedaknya dari segala anasir. natijahnya, kini dia berdiri berfikir bagaimana caranya mahu meredah titisan tangisan langit dengan bergaya.

terlihat dia akan salah satu rakyat negara Melayu diperintah Bangladesh bersama payung kelabu tahi kucing. senyum dilirik dan dia menggoda si payung. payung kelabu tahi kucing setuju, dengan syarat pulang nanti harus berbaik bersama payung sendiri. dia mengangguk. kini, dia menunggu hadirnya Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya di stesen khas. Si Badan Besar ini bisa jadi wangi dan cantik namun mereka biasanya garang, kasar dan memaksa dia berdiri sehingga tiba di stesen terakhir. hari ini, bapa Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya yang datang menjemput. dia redha. asalkan dapat pulang memujuk payung dan perut yang pagi tadi merajuk.

kan benar. dia dipaksa berdiri dalam kalangan rakyat negara Melayu diperintah British, China diperintah Filipina dan tidak kurang Iran diperintah India. namun, hatinya biasa sahaja. Asalkan dapat tiba di stesen terakhir itu sudah mencukupi. namun, bapa Si Badan Besar Bertatah Tatu Universiti Malaya ini mengajak dia berjalan. mengelilingi Bukit Cinta, meredah usangnya stesen-stesen lain, dalam keadaan dia yang kuyup dan lebat hujan di luar sana. romantis dan melankolik rasanya.

disebabkan dia berseorangan, maka dipendam kata-kata kelaparan dalam trachea dan tonsil. akhirnya, tiba juga dia di stesen terakhir. berjalan dia bersama seluar lusuh menyapu debu-debu tar dan tanah lombong menyusuri hutan konkrit yang berlif. hajat si perut ingin memerintah nasi lemak koperasi. tidak kesampaian. melangkah dia menuju ke pusat berkumpulnya perut pelbagai bentuk. ketemu dia bersama Mimot dan Paz. Mimot senyum sahaja, tapi mulutnya malah rancak bercerita bersama Paz tidak mengendahkan dia yang tertinjau-tinjau mencari sumber untuk diperintah si perut. tidak mengapalah, sudah biasa begini. sendiri.

dipesannya tepung dalamnya telur, dan tepung biasa yang keduanya diuli dan dicanai. sambil itu, dia meneguk secawan Nescafe Cincau dibikin rakyat Indonesia diperintah Cina. dia menunggu tidak lama. usai segala, pulangah dia ke kamar kecil menjengah si payung, si cadar bercorak love dan teman berkerakyatan Kelantan diperintah Jawa. dan kini dia masih belum bermanja bersama air setelah merajuk ditimpa tangisan langit.


berdasarkan kisah benar.






2012-10-06

Perihal Tergugat yang Bukan-Bukan

Dia punya tabiat rasa hati yang buruk
di mana semua gadis cantik seperti ancaman
yang mencarik ruang kelemahan
di sebalik senyuman dan hijabnya

asal bertemu gadis panas
dia mula dirundung sepi
mula mencari di mana harga diri
mula mengira pelaburan yang harus dilakukan
hanya untuk memastikan
kau tiada berpaling

kisah sebenarnya
dia tahu kau mahu dia 
menjadi orang yang kau terpikat dahulu
yang bahagia tanpa gusar
yang mampu berdiri tanpa perlu menggigil 
menanti semua kata penilaian

kau punya kawan cantik
bekas teman wanita comel
rakan sekerja yang anggun
dia harap
kau mampu setia
pada redup mata dan mungil bibirnya
yang mengisytiharkan cinta

semoga rasa tergugat itu tidak melunturkan rasa yang sedia ada cukup rasa.






dia mahu jadi yakin seperti gadis ini.



2012-09-23

Cili Atas Mak Jah


            Rita menggosok-gosok matanya sambil berlalu ke arah dapur. Setelah itu, dia berjalan ke arah pintu mencari Orita. Rita mengalihkan pandangan ke kebun belakang yang mula ditumbuhi belukar setelah dibersihkan ibu 6 bulan lepas. Pokok cili memenuhi hampir separuh daripada kebun tersebut. Sangkanya ingin dibuat bisnes, tapi ibu bilang hanya suka-suka saja.
            Di sebalik rimbunan pokok cili itu, Rita terlihat kelibat Orita di situ. Dia pelik. Orita tidak pernah ke belakang kebun itu. Rita menghayunkan langkahnya mendekati Orita. “ Orita buat apa kat sini?” tanya Rita sambil menyentuh badan Orita. Rita kaget. Orita memandangnya tanpa perasaan. Bukan itu yang dia hairankan. Dilihatnya mulut Orita penuh dengan biji cili. “ eh, kau ni biar betul, kau makan cili ni ke Orita? ! tak pernah dibuat orang dik oi!” Rita membebel dalam keadaan masih terkejut dengan apa yang dilihatnya. Orita menjilat-jilat jarinya sambil menggoyang-goyang ekornya yang gebu itu. Lagaknya seperti baru lepas melahap sepinggan ikan rebus. Setelah itu, dia berlalu membiarkan Rita yang masih duduk berteleku menganalisa kejadian itu.
            Sejak hari itu, Orita kerap ke kebun belakang itu menjamah sebiji dua cili sebagai pencuci mulut. Keadaan itu berterusan sehingga dua minggu lamanya. Pada pagi Jumaat yang cerah, Rita berazam ingin membongkar punca di sebalik kejadian itu. Berbekalkan sebatang cangkul, Rita berhempas-pulas mencangkul pokok cili yang sering dilawati Orita hingga ke akar umbinya. Kali ini, memang kebun cili itu memberi kejutan kepadanya hingga dia terduduk dengan mulut yang ternganga luas.
            “ Terima kasih atas kerjasama Cik Rita, saya harap cik bersabar. Saya minta diri dulu ya,” pesan polis itu sambil menepuk bahunya. Ibu dibawa pergi setelah diyakini membunuh Mak Jah, jiran sebelah rumah yang dilaporkan hilang 6 bulan lalu. Mayatnya ditanam di bawah pokok-pokok cili di kebun itu dan menjadi baja yang subur. Ibu menuduh Mak Jah cuba merampas lesung batu pusakanya. Rita pula sudah bertekad untuk bertukar selera ke lada hitam .


Pesanan Sedih: 
Cerpen ini dibuat sempena pertandingan cerpen online namun tidak menang. maka, di sini lah ia disiarkan.
            

2012-08-10

Sejuk Ramadhan yang Wujud

kau adalah diriku
dan aku adalah dirimu. - Wujud.

tangan yang terhiris pisau 
terbakar dek panasnya ketuhar
namun hati hanya dinaungi namamu
aku tidak menyalahkan kau
andai kerjaya menuntut kau bermesra bersama adinda lain

fahami lah hati aku
aku yang kerap merindu
memikirkan engkau tanpa ada hentinya
semua yang aku lihat, dengar, baca, fahami
seolahnya bertentangan dengan bisikan di telinga

lembah tangisan semalam belum kering
usah biar ia menjadi lautan tsunami yang sadis.





How Covid - 19 pandemic made me come back as Kebaya Sendat Sepatu Merah

  It's been a while. As for me to start writing again. I've been losing myself for the past few years. I missed blogging. Showing of...