2012-09-23

Cili Atas Mak Jah


            Rita menggosok-gosok matanya sambil berlalu ke arah dapur. Setelah itu, dia berjalan ke arah pintu mencari Orita. Rita mengalihkan pandangan ke kebun belakang yang mula ditumbuhi belukar setelah dibersihkan ibu 6 bulan lepas. Pokok cili memenuhi hampir separuh daripada kebun tersebut. Sangkanya ingin dibuat bisnes, tapi ibu bilang hanya suka-suka saja.
            Di sebalik rimbunan pokok cili itu, Rita terlihat kelibat Orita di situ. Dia pelik. Orita tidak pernah ke belakang kebun itu. Rita menghayunkan langkahnya mendekati Orita. “ Orita buat apa kat sini?” tanya Rita sambil menyentuh badan Orita. Rita kaget. Orita memandangnya tanpa perasaan. Bukan itu yang dia hairankan. Dilihatnya mulut Orita penuh dengan biji cili. “ eh, kau ni biar betul, kau makan cili ni ke Orita? ! tak pernah dibuat orang dik oi!” Rita membebel dalam keadaan masih terkejut dengan apa yang dilihatnya. Orita menjilat-jilat jarinya sambil menggoyang-goyang ekornya yang gebu itu. Lagaknya seperti baru lepas melahap sepinggan ikan rebus. Setelah itu, dia berlalu membiarkan Rita yang masih duduk berteleku menganalisa kejadian itu.
            Sejak hari itu, Orita kerap ke kebun belakang itu menjamah sebiji dua cili sebagai pencuci mulut. Keadaan itu berterusan sehingga dua minggu lamanya. Pada pagi Jumaat yang cerah, Rita berazam ingin membongkar punca di sebalik kejadian itu. Berbekalkan sebatang cangkul, Rita berhempas-pulas mencangkul pokok cili yang sering dilawati Orita hingga ke akar umbinya. Kali ini, memang kebun cili itu memberi kejutan kepadanya hingga dia terduduk dengan mulut yang ternganga luas.
            “ Terima kasih atas kerjasama Cik Rita, saya harap cik bersabar. Saya minta diri dulu ya,” pesan polis itu sambil menepuk bahunya. Ibu dibawa pergi setelah diyakini membunuh Mak Jah, jiran sebelah rumah yang dilaporkan hilang 6 bulan lalu. Mayatnya ditanam di bawah pokok-pokok cili di kebun itu dan menjadi baja yang subur. Ibu menuduh Mak Jah cuba merampas lesung batu pusakanya. Rita pula sudah bertekad untuk bertukar selera ke lada hitam .


Pesanan Sedih: 
Cerpen ini dibuat sempena pertandingan cerpen online namun tidak menang. maka, di sini lah ia disiarkan.
            

2012-08-10

Sejuk Ramadhan yang Wujud

kau adalah diriku
dan aku adalah dirimu. - Wujud.

tangan yang terhiris pisau 
terbakar dek panasnya ketuhar
namun hati hanya dinaungi namamu
aku tidak menyalahkan kau
andai kerjaya menuntut kau bermesra bersama adinda lain

fahami lah hati aku
aku yang kerap merindu
memikirkan engkau tanpa ada hentinya
semua yang aku lihat, dengar, baca, fahami
seolahnya bertentangan dengan bisikan di telinga

lembah tangisan semalam belum kering
usah biar ia menjadi lautan tsunami yang sadis.





2012-07-22

hormon cuti abnormal



ini bukan cuti panjang
untuk bersuka ria dan gembira bersulam riang
ini cuti menghalau petualang
dari menjadi si leher jinjang
meninjau-ninjau di balik ranjang
sambil bermain bola keranjang
ditemani isteri Pak Anjang


cuti ini untuk membelek jiwa
muhasabah hati dan juga tawa
yang membiak membesar seperti gemuknya si ular sawa
supaya bisa jiwa bersih seharum kekwa
tanpa perlu gundah dibawa.



katanya rindu

aku tidak tahu bulan terang atau tidak ini malam
jasadku hanya terperuk di ruangan kecil tanah
yang bangunannya konkrit semata
tanpa memberi nafas pada tumbuhan purbakala


aku bilang aku rindu
kerapkali aku menyoal
pada mata dan hati yang sering berkaca
dengan deraian tangisan hiba
tidak mampukah rindu terurai tanpa perlu bertentang?
tanpa perlu meninjau
mahupun menyentuh


cemburu dan prasangka
benar aku dikuasainya
tanpa penuh daya untuk menyingkir
untuk kekal rasa harmoni
aku belum mampu memadam
igauan ngeri dan pilu suatu masa dahulu
membuat aku terlihat-lihat semula
seperti dejavu yang kejam
kau dalam dakapan angin semilir adinda lain


katanya kalau cinta masih ikhlas
bantulah kita mencari hala tuju
katanya juga andai cinta masih suci
pastilah jiwa masih mempercayai dan kental
namun aku sudah hampir goyah
mengenangkan engkau yang terhalang
oleh orang-orang kesayangan dan petualang
hampir robos jiwa yang gundah
dan dikecam dari dalam


aku mahu engkau tiba bersama sayap si pari-pari
aku ingin kita berdua terbang
sambil berlari di atas awan
memijak si kepulan gebu putih
berlatarbelakangkan biru yang damai
aku dan engkau bergembira
berlari tanpa lelah, tanpa gundah, tanpa tanggungjawab
riang seenaknya dan cukup rasa


walau mustahil
aku masih ingin engkau yang aku rindui
mengusap tawa di balik hati sarat luka
setelah semua kekusutan
marilah kita pulang berpelukan dan bermaafan.




2012-07-14

Kata Mimpi Senada


Kala kau sedang tidur dalam pelukan mimpi indah
Ada yang menangis dikejutkan realiti gundah
Kenyataan hati yang perit
Hanya mampu dikendong jiwa kental dan sabar
Aku fikir senyumannya bahagia benar
Namun aku dikagetkan dengan kisah hidup sendu

Kalau dahulu kau masih anak kecil
Berlari riang menggembirakan hati ibu ayah
Kini kau dewasa
Dan berdepan bersama petualang hidup
Yang tidak pernah mengizinkan kau wujud
Kata cacian telah hampir kau hadam

Andai saja kau mahramku
Pasti sudah ku peluk dan kita akan menangis bersama
Walau aku tidak merasa apa kata jiwamu
Geloranya aku sudah dengar
Di balik derai tawamu yang penuh kehibaan

Kita tidak akan mampu mempersoalkan takdir
Tanpa peperangan
Tidak mungkin kita semua akan kuat begini
Tidak mungkin kita akan bersatu jiwa dan lagu
Juga berkongsi senyuman
Dan tidak lupa makanan dan udara

Usah kau bimbang
Masih ramai di sini masih ingin mengelus pipi basahmu
Yang berlinangan air mata rindu dan rintihan
Masih ada kita yang sudi
Mendengar dan memberi apa yang terdaya
Agar terma persahabatan tidak akan hanya tinggal tulisan
Yang abadi di dalam Kamus Dewan Edisi 9

sudah-sudah lah mengenang realiti
mari kita semua melakar mimpi
di bawah percikan bunga api yang kita raikan dulu
semoga yang baik akan muncul dengan ikhlas
seperti ghairahnya warna bunga api di malam tahun baru.


2012-06-18

Takdir Si Gigi Kacip

Allah hadirkan dia untuk mengembalikan rezeki
dia lahir tanpa diduga
namun masih diterima
Allah tahu adanya dia dalam keluarga bakal mengeratkan hubungan

tapi entah
hati aku masih tidak redha
bisikan syaitan kekal berbega-bega
hati aku masih keras
mahu menjulang namanya dengan penuh kasih sayang

mungkin bila segalanya dewasa
segala hikmah akan terserlah
segala keriangan mengganti gundah
dan aku akan tenang tanpa amarah

jiwa aku yang tersasar
mugnkin mampu disembuhkan dengan adanya dia
di samping bonda 
yang sering menitipkan kata-kata ilmuan
penuh barakah






Pesanan Sulit: semoga Ramadhan kali ini memberi ketenangan lebih ikhlas. 




2012-06-12

Dongeng Yang Benar

     Gadis hanya perempuan biasa. lahirnya dia tanpa disangka. diminta namun bukan dalam keadaan secepat itu. membesar dia dalam kalangan orang baik-baik dan dermawan.  dia telah menjadi antara pelajar terpandai dan diharap berjaya dengan warna terbang (baca: success with flying colours). Gadis matang sebelum usia. pada masa semua orang masih terkial-kial mengenal apa itu kaki retot dan penunu bunsen, dia sudah mengorak langkah membuat pelbagai eksperimen dengan alatan tersebut.


     Rezeki masih berpihak sehingga usianya menginjak 14 tahun. kau tahu kan dia mengambil PMR di usia itu? hasratnya ingin belajar dalam aliran sains biologi. namun, takdir seakan sedang menguji apabila sang ayah menyuruh dia ke bidang teknikal. maka, pergilah dia dengan hati yang lusuh menimba ilmu nun jauh di sekolah di mana perempuan adalah 1/4 jumlahnya berbanding lelaki.

    Tempat itu memang seperti medan ujian. menguji kekentalan iman dan hati Gadis dalam mengharungi dugaan. ada juga perkara baik berlaku di sekolah itu di mana dia mula mengenal pasti akan bakat menulisnya. ironinya, sekolah yang patut menjadikan dia seorang jurutera telah mengubah dia menjadi si penulis puisi indah dan syahdu. perjuangannya diteruskan lagi dengan mengambil Diploma.

   3 tahun bergelumang dalam dunia Politeknik di tepi pantai telah mengajar dia pelbagai perkara mendewasakan hati dan minda. Gadis juga bertemu sahabat-sahabat sejati dan mungkin juga cinta hati. hidupnya mula stabil dan tenang di samping orang-orang tersayang. 

   kali ini dia berperang lagi. tapi dia sudah kembali ke cita-cita asal. mendalami bidang biologi di Universiti tertua Malaysia. rupanya, dunia tidak indah seperti yang kau lihat dalam dongeng tipikal. jiwanya merundum teruk akibat terpaksa mempelajari ilmu yang tidak pernah diketahui dalam masa singkat. tambahan, hidup di sini, semuanya perlu serba pantas dan lekas. kau lihat bagaimana seksanya Gadis bertatih di saat semua orang sudah sampai ke garisan penamat.

    Baru tadi dia diuji. dengan menjawab soalan peperiksaan yang bukan-bukan. menangis gadis di dalam dewan peperiksaan. namun, sendunya hanya kedengaran di bawah bantal. seseorang telah mendengarnya dan ditiupkan kata-kata penuh semangat dan simpati. Semoga orang itu beroleh keberkatan dan kejayaan oleh Allah. 
    
Gadis masih ingin berkongsi rasa dan hati. cuma kadangkala takut disalah erti. harapnya Gadis sentiasa tabah dan menjadi kuat dari semasa ke semasa. 


Rainbow might taste good to her right now.


2012-06-03

Sehari Sebelum Sakit

saat-saat genting begini memang menekan
hati, jiwa dan limpa
apakan daya
orang yang dahulu sentiasa mengharungi saat begini
sudah terpisah jauh dibawa arus kematangan


dulu kita saling menyokong
saling membantu
saling menyayangi dengan ikhlas
kita pernah serumah
bekerjasama memasak dan membeli barang dapur
setiap hari sabtu
di pasar berdekatan kedai potostat


tidak lupa juga
kita pernah ke masjid
kemudian dijamu nasi ambeng
kata kamu semua
"ini nasi ambeng paling sedap"
mungkin berkat dibuat penuh keikhlasan untuk tetamu Allah


semester terakhir
kita sudah duduk semula di kamsis dikelilingi lelaki
tapi apa kita kisah
katanya senior


kalau dulu saling bertukar nota
juga jawapan
tapi kini aku keseorangan
menilik buku yang mukasuratnya tiada sudah
tiada siapa mahu menenangkan
juga berkongsi tekanan


andai kita berjodoh lagi
jangan pernah lupa
kasih sayang aku tetap kekal
aku harap
kamu juga begitu.









2012-05-23

Perihal Jambangan Bunga Syahdu

mohon janganlah ditanya mengapa 
gambar - gambar konvokesyen tiada terselit pun wajah ibu dan ayah
hal ini kerana takdir telah menentukan
aku tidak akan dapat bergambar riang bersama mereka


mereka hadir
tapi tidak menjadi Tetamu Lulusan
atas alasan adik aku yang masih kecil
mereka ada
di luar dewan
dan saat majlis berakhir
kami mencari sesama sendiri
saling menelefon, saling menjengah-jengah kepala mencari, saling berjalan memerhati


apakan daya
Line Maxis dan Celcom yang sibuk
ditambah kepadatan manusia gembira
kala hati aku gundah ingin mencari ibu ayah
kami tidak ketemu


alih-alih
saat panggilan bersambut semasa aku ingin memulangkan jubah
ibu bilang dia sudah pulang
hanya Allah tahu
betapa sayu dan hati
aku masuk ke dalam kereta
dan menghambur tangisan syahdu
makcik juga turut teresak bersama


ibu kata dia sakit
dia anggap aku telah pulang
kerana melihat banyaknya mobil yang keluar dari pagar
namun ironinya
dia berjodoh dengan Alexander
di mana mereka bertemu
dan ibu sempat memberi jambangan bunga yang digubahnya sendiri


aku tidak menyalahkan ibu dan ayah
mungkin Allah ingin menguji seteguh mana hati 
melihat orang lain menatang jambangan bunga
diberi kucupan cinta oleh keluarga
namun aku bersyukur
masih ada makcik dan adik yang menemani dan bersusah payah bersama


benar, hati masih sayu
tapi hati ibu aku tidak tahu
aku yakin bukan dia sengaja
makanya, kami saling bermohon maaf
dan semoga aku mampu menghadiahkan sekeping gambar kita bersama untuk Ijazah Sarjana Muda nanti.




Ada rasa terkilan yang pabila diluahkan,
hanya mengundang tangisan lebih parah kepada diri. - Zafirah Bahram,2012







2012-05-13

Agung dan Sejati

kau tahu
setiap kali aku ingin melangkah keluar rumah
pasti dipeluknya aku
sambil membisikkan ayat - ayat suci Al-Quran
sebagai pendinding zahir dan batin

aku bukan anak yang taat
sering melanggar pantang larangnya
namun aku tahu
cintanya sangat utuh
dan segar mewangi

pernah dulu
aku ingin bersuka ria bersama teman lelaki dan rakan-rakan
dan menipunya
mungkin balasan Allah
berlaku satu insiden hampir meragut nyawa
dia tidak menyalahkan aku
malah membantu aku
dan menyokong aku
kala semua orang menuding jari dan meletakkan beban jenayah ke atasku
kerana baginya
aku anaknya dan dia harus sentiasa ada di kala duka mahupun suka

Ibu,
maafkan aku kerana tidak selalu mengingatimu
maafkan aku kerana tidak selalu menghadam nasihatmu
maafkan aku kerana sering membuat jiwamu gelisah
maafkan aku kerana tidak selalu mengunjungimu

setiap hari adalah hari memperingatimu
kau yang paling agung dalam hidup aku
paling terindah
tidak pernah berkira
dan sanggup berkorban

andai kau terbaca, Ibu
ketahuilah cinta yang kita ada
akan kekal selamanya

Khas untuk Ibu: Edaroyani Tumar










Pesanan Sedih : bila sudah dewasa, semakin kurang gambar bersama ibu. sedih.


2012-05-11

hati yang sama, wajah yang lama

dia berumur kira - kira 6 tahun
ketika aku pertama kali menangis tanpa seurat benang di Hospital Tanjong Karang
sejak itu 
dia seperti kembar yang sering bersama
walau jarak dan zaman berlainan


dia yang pemurah
peramah
kadangkala pemarah
namun hati tetap menyayanginya
kerana dia adalah satu - satunya adik perempuan ibu.


ketika usia aku menginjak ke zaman 'rebellion'
dia mengakhiri zaman suka ria
zaman menjadi satu
dia sudah bergelar isteri
aku biasa sahaja
kerana aku tahu sudah masanya untuk dia berkeluarga.


apakan daya
bukan semua kehidupan seperti cerita dongeng
bukan semua hati ikhlas mencintai
dia kini terawang - awang dalam angan-angan pelangi
dan realiti petir


mungkin dia juga sedang mengalami zaman peralihan itu
aku tahu
jiwanya merintih
antara kasih sayang suci keluarga dan cinta sang suami
takdir sedang menguji
aku turut sama menangis
kerana perasaan kembar
yang dicubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya.


apa yang aku lihat
lelaki sekelilingnya memang gemar mengambil kesempatan
atas rasa cintanya yang suci
dan hatinya yang sedang berkeliaran mencari kasih sejati.


aku mohon
janganlah kau mempermainkan hatinya
keran dia seperti biasan cermin aku
melihat dirinya
sama seperti melihat aku
juga kerana dia saudara paling aku kasihi
paling aku senangi
aku tidak mahu dia hancur
dibuai rasa duniawi yang tidak henti - henti menerjah
jiwanya dan juga jiwaku.


"jika kau seorang yang budiman, aku pohon pimpinlah dia ke jalan syurga atau lepaskanlah dia andai kau sendiri tidak yakin atas keupayaan kau mendorong diri sendiri ke jalan itu." - Zafirah Bahram, 2012












Pesanan Sadis: well then, I love you my only lovely same face with me, aunt. dari kita kecil sehingga kini seperti sorotan gambar  di atas sana.

How Covid - 19 pandemic made me come back as Kebaya Sendat Sepatu Merah

  It's been a while. As for me to start writing again. I've been losing myself for the past few years. I missed blogging. Showing of...